Mengatasi Masalah Anak Yang Degil



Kadangkala, sebagai ibu bapa memang sukar untuk kita bersabar dengan karenah anak-anak. Corak kehidupan masa kini menambahkan lagi bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa. Lebih-lebih lagi bagi yang menjadi ibu atau bapa tunggal, beban dan tanggungjawab menjadi berlipat kali ganda. Anak-anak pula sering meminta perhatian, dan ada pula yang tidak tahu berdikari walau sedikit pun. Mereka semakin pandai merungut, mengambil kesempatan atau membuat helah yang mereka tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian hingga kita kadang-kadang merasakan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diberikan.



Di zaman moden ini, pengaruh dari apa yang berlaku di sekeliling seringkali membuatkan kebanyakan kita tergesa-gesa, memberitahu anak-anak apa yang perlu dilakukan sambil berlalu di hadapan mereka, dan kemudian pergi. Malangnya, apa yang berlaku ialah selepas membuat 15 permintaan untuk melakukan sesuatu misalnya, kebanyakan kita akan menjadi kecewa. Ada yang terpaksa meninggikan suara, walau pun perkara itu tidak mereka sukai. Ramai yang merasakan, "Kenapa anak saya hanya mendengar apabila saya menjerit kepada mereka?" Bagi kanak-kanak, mungkin ia merupakan masa untuk mendapatkan sedikit rehat atau pun melihat apa yang sedang berlaku.



Kebanyakan kanak-kanak sudah mempelajari bahawa mereka boleh mengenepikan suruhan kita apabila kita bercakap pada nada suara biasa, kerana tidak lama kemudiannya kita akan keluar ataupun sibuk melakukan hal-hal tertentu. Maka kanak-kanak tersebut boleh meneruskan semula apa yang sedang mereka lakukan tanpa gangguan. Walau bagaimana pun, mereka tetap "peka" kepada nada suara kita ibu bapa mereka dan tahu kwbapa mereka akan jadi kenyataan. Justeru itu, bagaimana untuk membuatkan mereka mendengar kata tanpa kita perlu menjerit dan mengugut?



• Jangan tergesa-gesa sambil menggesa dalam memberi arahan. Kadangkala lagi banyak menggesa, keadaan menjadi lebih buruk. Jika kita mahu mereka melakukan sesuatu, kita perlu meluangkan sedikit masa hanya untuk memberitahu perkara itu. Hampirilah anak itu, pandang kepadanya dengan pandangan yang mesra dan katakan apa yang kita mahu dia lakukan. Anda boleh menyentuh bahunya dengan lembut ketika membuat permintaan itu. Kadangkala, anak yang degil ini sengaja bersikap demikian untuk meguji kesabaran kita. Oleh itu, kita akan kalah jika kita hilang sabar.

• Berlembut dengan nada kasih sayang. Anak-anak seperti ini bersikap keras di luar, tetapi sebenarnya mereka masih lembut di dalam. Tawanlah hatinya. Untuk itu, kita perlu gunakan cara yang lembut. Gunakan kata-kata pujukan dan rayuan seperti, "Man, mak penat betullah, Man. Man kesian mak tak? Boleh tak Man tolong sapu halaman di luar tu? Emak tak tahu siapa lagi yang boleh tolong emak. Kalau mak buat juga, sakit pinggang mak akan menjadi bertambah teruk lagi. Boleh ya, Man? Man anak baik kan?" Memanglah kita perlu meluangkan sedikit masa untuk memberikan kata-kata seumpama ini. Tetapi apa salahnya kalau kata-ata arahan seperti, "Man, pergi sapu halaman," itu tidak berkesan?

• Tunggu sebentar di sisinya sehingga dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Kehadiran kita di sisinya lebih meyakinkan dia bahwa kita benar-benar serius mahu dia melakukan suruhan tersebut. Ia lebih berkesan daripada mengulang-ulang arahan yang sama dari jauh.

• Berikan komen yang positif apabila dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Sewaktu dia sedang melakukannya, datang dan jenguk dia serta berikan terus komen-komen positif. Jangan tunggu sehingga dia selesai, baru anda hendak berikan komen yang positif. Anak-anak seperti ini perlu didorong dengan lebih kuat daripada anak yang sedia mendengar kata-kata ibu bapa mereka.

• Apabila tugas itu sudah dilaksanakan, berikan pujian atau ucapkan terima kasih kepada anak itu kerana telah melakukannya dengan segera. Selitkan juga ucpan terima kasih kerana "dia sanggup mendengar kata-kata anda". Dengan ini, kanak-kanak akan dapat merasakan yang ibu bapanya benar-benar mengambil perhatian terhadap apa yang dikatakan dan mereka juga dapat merasakan betapa besar maknanya kepada ibu bapa untuk mereka mematuhi suruhan tersebut.

• Tetapi jika kerja itu tidak dilakukan, hampiri anak tersebut dan bincangkan tentang apa yang kita mahu dia lakukan. Terus awasi dia sehingga dia selesai melaksanakannya. Apabila dia semakin menunjukkan peningkatan melakukan kerja dengan pengawasan, kita boleh kurangkan memberi kata-kata pengesahan setiap kali dia melakukan sesuatu kerja, tetapi sekali-sekala, berikan komen bahawa mereka bertanggungjawab dan tunjukkan penghargaan kepada sumbangan mereka itu.

• Kita boleh janjikan sesuatu yang menarik kepadanya sekiranya dia melakukan apa yang disuruh. Contohnya membawa dia bersiar-siar di hujung minggu nanti sekiranya dia bersikap rajin dan melakukan apa yang disuruh.

• Terangkan juga kepadanya betapa besarnya pahala anak yang mentaati kedua ibu bapanya. Anak sebegini yang akan mendapat keredhaan ibu bapa, yang merupakan antara syarat utama untuk masuk syurga kelak.

• Selalu bacakan kisah-kisah mengenai anak yang mentaati kedua ibu bapanya dan balasan yang Allah s.w.t. berikan. Kisah-kisah semasa boleh diceritakan. Contoh di kalangan saudara mara juga adalah baik untuk disebutkan kepada anak-anak. Umpamanya, anak yang seringkali berjaya di dalam hidup mereka berkat ketaatan mereka kepada kedua ibu bapa. Ceritakan juga kisah-kisah anak yang tidak mendengar kata-kata ibu bapa mereka serta kesusahan dan bala yang Allah turunkan untuk anak-anak seperti ini.

• Jika menonton drama di televisioan mengenai anak yang baik atau akibat anak yang degil, berikan komen atau iktibar daripadanya selepas kita menontonnya bersama. Lebih baik lagi jika kita dapat merakamnya untuk ditonton lagi di masa-masa yang akan datang.

• Perhati dan periksalah diri kita sendiri. Kadang-kadang anak yang bersifat degil itu adalah cermin diri kita. Mungkin kita juga seorang yang degil, cuma cara dan bidangnya berbeza. Mungkin, hanya satu bentuk kecuaian kita dalam menjaga syariat, sudah cukup untuk menjadikan kita gagal dalam memimpin dan mendidik anak-anak. Kecuaian kita menunjukkan kita juga `degil' untuk mematuhi perintah Allah s.w.t., justeru itu Allah berikan teguran-Nya melalui sikap anak-anak. Cuba perbaiki diri kita dari masa ke semasa, untuk menjadi hamba Allah yang taat, semoga anak kita juga taat kepada ibu dan ayahnya.

• Jangan terlalu banyak mencemuh atau mengutuk anak kalau dia bersikap degil. Ini tidak akan memberi apa-apa kebaikan. Malah, ia akan merosakkan hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak. Anak-anak yang merasakan dirinya `tidak berguna' dan dibenci oleh ibu bapa akan bersikap lebih degil lagi, kerana dia juga sedikit sebanyak turut mebenci kedua ibu bapanya.

• Jangan biarkan anak terus dengan sikap degilnya itu. Kalau kita menyuruh berbuat sesuatu dan dia tidak mengendahkannya, kita harus terus memujuknya supaya dia tetap melakukannya. Jangan pula di waktu-waktu tertentu kita biarkan dia lepas begitu sahaja, manakala di waktu lain kita begitu marahkan dia.

• Elakkan daripada menyuruh anak melakukan perkara yang memang tidak disukainya, melainkan kalau perkara itu memang perlu dilakukan. Sebaliknya banyakkan suruhan pada perkara-perkara yang digemarinya atau yang lebih mudah untuk dilakukan. Contohnya, anak lelaki mungkin lebih suka pergi ke kedai dan menyapu halaman manakala anak perempuan pula lebih mudah disuruh membasuh pinggan, mengemas rumah dan sebagainya.

• Akhir sekali, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan. Kadangkala ibu bapa yang terlalu mengharapkan anak-anak mereka cepat berubah akan kecewa apabila anak-anak tidak melakukan apa yang disuruh. Apabila kecewa, kita mungkin akan menjadi hilang sabar lalu hilang pertimbangan hingga melakukan tindakan yang keterlaluan dengan menghukum anak-anak. Bayangkan diri kita sewaktu kecil, adakah kita mudah melakukan setiap apa yang disuruh? Begitulah juga situasi anak-anak kita sekarang. Yang penting, teruskan memberi mereka didikan dengan penuh sabar, Insya-Allah semakin mereka meningkat umur ke arah dewasa, mereka akan faham bagaimana untuk menjadi anak yang taat, mendengar kata dan bertanggungjawab.

Ulasan